Jumaat

Hargailah Pasangan Anda dan Apa Yang Anda Ada......

Cerita ni saya copy dari facebook sebagai peringatan untuk saya dan kawan2..

Kami sama-sama keluar rumah jam 6.45 pagi. Isteri menuju ke rumah mertua manakala saya terus sahaja ke Nilai. Elok sahaja saya keluar dari tol Bangi menuju ke Selatan, ada seorang lelaki berserban sedang terbongkok-bongkok dengan motorsikalnya. Saya pun berhenti mana tahu beliau perlu pertolongan.
Insaf sekejap apabila saya menyapanya “rosak ke?” Beliau jawab, “Assalamualaikum”. Saya pun tersengih-sengih menjawab salam.
“Tayar pancit je ni, tak ada apa pun, dah biasa” jawabnya.
“Abang nak kemana ni? Dengan beg bagai”
“He he he, mana lagi, tengok dunialah!” Dia ketawa. Sesekali beliau melibaskan kepala kerana ekor serbannya terbang ke hadapan dadanya. Mungkin risau kotor.
“Kau nak pergi kerja, pergilah, aku ok ni, tak ada apa, semua beres!”
“Eh tak apa bang, saya tolong mana yang patut” Saya memang tak tahu langsung bab-bab nak baiki motor, kalau tayar pancit pun memang agak gagal juga sebenarnya. Tetapi ada satu perasaan nak mencangkung sama-sama sampai siap.
Sudah beliau menukar apa yang patut, beliau mengeluarkan pam kaki. Di pamnya beberapa kali dan nampak penat, saya pula menyambung ala-ala gagah Kim Jong Kok. Alhamdulillah semuanya selesai, beliau mengeluarkan air dan membasuh tangan. Kemudian duduk mencangkung untuk minum air seteguk dua. Saya perhatikan sahaja.
“Abang ni macam jauh je perjalanan, ok ke bang?”
“ok.. jangan risau, Aku ada Allah” jawabnya perlahan. Saya mengeluarkan dompet dan memberi beliau apa yang ada. Beliau sambut dan mengucapkan terima kasih.
“Kau ada anak?” tanyanya.
“Ada bang, seorang, anak perempuan.” Jawab saya.
“Ya Allah, kau beri kehormatan, kau beri keberkatan, kau beri ayah dan emak kepada saudara seislam aku ini kebaikan untuk mendidik anak-anaknya ya Allah” beliau terus angkat tangan dan berdoa. Saya terdiam dan perhatikan sahaja.
“Terima kasih bang, terima kasih” sedang saya mahu berpaling untuk menuju ke motor, beliau pegang bahu saya.
“Jaga anak kau baik-baik, itu amanah. Aku dah tak ada semua tu. Semua dah dapat syurga barangkali, semua dah tak ada lagi depan mata aku” Wajahnya tenang sahaja. Akhirnya beliau tanya saya ok atau tidak jika dia mahu nasihat serba sedikit kepada saya, alang-alang dah berjumpa katanya berilah dia pahala juga dengan memberi cerita kebaikan kepada saya, saya ok sahaja. Kami pun meneruskan bersembang sekejap di tepi jalan yang sudah penuh dengan kereta berdesup-desup.
Rupa-rupanya isterinya meninggal dunia semasa tragedi mahu melahirkan anak yang pertama. Anaknya pula meninggal bersama. Semasa beliau berkahwin, beliau masih seorang yang nakal, masih mengusik orang lain, perempuan lain, malah sangat berani mencabar isterinya untuk melihat dia berkahwin lebih dari satu, sedangkan beliau tahu isterinya itu sebaik-baik wanita yang pernah dia kenal dalam hidup. Dia suka cakap besar dan sangat suka membesarkan diri sendiri dengan cerita-cerita hebat.
Tetapi itulah kenakalan dalam hidupnya, tak pernah menyesal dengan kehidupan hu ha yang bagai tak akan berakhir. Beliau tak pernah rasa kenakalan beliau tersebut akan menyebabkan Tuhan memberi balasan yang besar dalam hidup. Beliau selalu cuba mempermainkan keluarganya dengan kata-kata bongkak seperti jika isterinya mati dia akan kahwin lepas hantar jenazah di kubur. Walau ramai yang marah, beliau masih bergurau-gurau tanpa ada perasaan sesal.
Takdir Tuhan, mereka kemalangan semasa menuju ke hospital untuk melahirkan anak. Walaupun itu sekadar kemalangan kecil, isterinya mengalami pendarahan dalaman yang teruk. Anak juga tak dapat diselamatkan.
Beliau hilang punca. Disebabkan itu beliau tak keluar dari rumah hampir satu bulan, menangis lebih dua minggu. Hingga keluarganya membawa berjumpa doktor bimbang dia kemurungan.
Hari ini, selepas empat bulan beliau kehilangan orang yang dia sayang-sayang, dia merantau dengan motorsikal ke seluruh negara. Katanya mahu bermusafir. Dia baru pulang dari Perak, kini menuju ke masjid-masjid di Negeri Sembilan dan Melaka, seterusnya ke Johor. Jika ada kuliah-kuliah di masjid tersebut yang beliau suka dan minat, beliau akan tinggal dalam satu ke tiga hari, kemudian meneruskan perjalanan lagi dan lagi. Puas saya bertanya beliau dari mana, beliau tak mahu jawab.
Katanya sejak bujang sampai kahwin khatam Quran adalah empat lima kali, dalam empat bulan ini katanya dua minggu sekali Khatam! Beliau ketawa sambil mengesat-ngesat air mata.
Beliau tak ada telefon bimbit, tapi saya beri nombor telefon saya. Mana tahu dalam perjalanan nanti ada singgah Bangi, bolehlah kami saling bersembang sekali lagi.
Beliau menasihati saya beberapa kali, hargai setiap sesiapa yang ada di sekeliling, jangan main-main dengan apa sahaja yang keluar di mulut, semua itu doa. Tuhan boleh beri dan boleh ambil bila-bila masa sahaja. Jangan cakap besar, jangan bergurau dengan perkara-perkara yang tak sepatutnya dan jangan sesekali meremukkan hati orang yang kita sayang dengan gurauan-gurauan kasar.
Kami berpelukan, saya mengucapkan selamat jalan kepadanya. Saya biarkan dia jalan dulu kemudian saya potonglah nanti dengan kelajuan siput gondang saya, kahkahkah. Taklah, saya biarkan sahaja beliau menunggang motornya dihadapan saya. Sampai exit Nilai, saya pun masuk dan dia meneruskan perjalanan.
Saya sangat yakin yang beliau telah tinggalkan segala-galanya. Keluarga, kawan, teman rapat semuanya terus habis di sisinya. Oleh itu beliau sanggup bersembang dan bercerita dengan orang yang beliau tak kenal untuk meluah rasa hatinya.
Masya-Allah, hebatnya kuasa Allah.
Macam-macam orang rupanya Tuhan hadiahkan pengalaman, siksaan, kekecewaan, pengajaran dan kebenaran. Ada yang boleh harungi dan kembali berjumpa jalan Tuhan, masya-Allah hebatnya. Saya pula kagum. Hebat kan? Semoga abang tadi Allah berikan tempat terbaik dalam hatinya untuk beliau kembali kepada keluarga, saya yakin keluarganya sangat merindui dia.
Kawan-kawan,
Buat masa ini saya langsung tak berani nak bergurau dengan isteri saya bab kahwin dua, tiga, empat. Bukan sekadar tak ada keyakinan diri, tapi takut juga dengan amukan isteri. Hahahaha.
Semoga perkongsian ini ada manfaatnya. Mari sayangi orang disekeliling.
Khairul Hakimin. Muhammad
Seorang suami yang suka ketawa, juga suka buat isteri ketawa. Cewah.
Copy dari: https://www.facebook.com/khairulhakimin.muhammad

Tiada ulasan:

Catat Ulasan